Monday, September 1, 2008

MEMORI - INGATAN UTAMA (ROM DAN RAM) DAN INGATAN PARA (CACHE MEMORY)

INGATAN UTAMA (ROM DAN RAM) DAN INGATAN PARA (CACHE MEMORY)

INGATAN UTAMA


Komputer memerlukan bahagian-bahagian ingatan (memory) untuk mengingati data serta menyimpan sementara
arahan dan tugas yang perlu dilaksanakan. Unit Pemprosesan Pusat (CPU) akan merujuk kepada bahagian
ingatan untuk mendapatkan data serta memastikan semua tugas telah disiapkan.
Ingatan utama merupakan komponen komputer yang berperanan untuk memegang data atau set arahan
sebelum, semasa dan selepas ianya diproses. Ingatan utama akan memegang set arahan atau data selama
mungkin selagi ianya diperlukan dalam sesuatu proses atau program. Sebaik sahaja ianya selesai atau tidak
diperlukan lagi, data atau set arahan tersebut akan dipadam dari ingatan utama tersebut. Data dan set arahan
dalam ingatan utama akan hilang sekiranya komputer di tutup (off).

SAIZ INGATAN UTAMA

Saiz ingatan utama memainkan peranan yang penting dalam menentukan keupayaan komputer anda. Semakin
tinggi saiz ingatan utama , maka semakin tinggi keupayaan sesebuah komputer (tetapi, perlu diingatkan juga
bahawa banyak faktor lain yang juga mempengaruhi tahap keupayaan sesebuah komputer, contohnya
kepantasan jam, jenis CPU dan sebagainya). Saiz ingatan utama juga menentukan kelajuan dan jumlah program
yang boleh dibuka serentak bagi sesebuah komputer (multitasking).
Ingatan utama diukur dalam unit Megabait dan juga Gigabait. Terdapat beberapa saiz ingatan utama yang
digunakan masa kini iaitu dari 32MB, 64MB,128MB,256MB , 512MB , 1GB dan 2GB.

JENIS-JENIS INGATAN

Terdapat dua jenis ingatan yang utama iaitu Ingatan Capaian Rawak atau Random Access memory (RAM) dan
Ingatan Baca Sahaja atau Read Only Memory (ROM).

1. INGATAN CAPAIAN RAWAK (RAM)


Photobucket



RAM juga lebih dikenali sebagai Ingatan Utama di mana data atau arahan yang diperlu atau sedang diproses
disimpan buat sementara waktu agar ianya pantas dipindahkan di antara CPU dan sistem pengoperasian.
RAM - Ingatan Capaian Rawak bermakna data atau arahan boleh dicapai secara rawak di dalamnya dan ia boleh
melaksanakan proses baca dan tulis (read and write). RAM adalah volatile (tidak kekal), bermakna ianya akan
kehilangan data atau arahan di dalamnya sebaik sahaja komputer ditutup (off).

JENIS-JENIS INGATAN UTAMA

i. DRAM (Dynamic RAM)
RAM yang dikeluarkan pada peringkat awal dikenali sebagai DRAM (Dynamic RAM). Di dalam DRAM,
arahan disimpan sebagai satu siri cas pada kapasitor. Dalam satu millisaat elektrik dicas, kapasitor
mengalami proses dinyahcas dan perlu dikemaskini atau disegarsemula bagi mengekalkan nilai di
dalamnya. Proses kemaskini yang berterusan ini merupakan faktor mengapa ianya dinamakan Dynamic
RAM.
DRAM merupakan sejenis ingatan yang agak murah kos penghasilannya. Antara teknologi DRAM ialah :
• FPM (Fast Page Mode)
• ECC (Error Correcting Code)
• EDO (Extended-Data-Out)
• SDRAM (Synchronous Dynamic RAM)

ii. SRAM (Static Random-Access Memory)
SRAM mampu menyimpan data tanpa perlu melalui proses pengemaskinian. Oleh yang demikian, SRAM
mampu beroperasi dengan kepantasan yang lebih tinggi berbanding dengan DRAM. Walaupun
demikian, biasanya kebanyakan komputer masih menggunakan teknologi DRAM kerana teknologi SRAM
jauh lebih mahal berbanding dengan DRAM. Kadangkala SRAM juga lebih dikenali umum sebagai
Ingatan Para atau Cache Memory.

iii. RDRAM (Rambus Dynamic RAM)
RDRAM secara dasarnya dibangunkan lanjutan dari teknologi DRAM yang tradisi cuma senibinanya
sahaja yang berbeza. Senibina tersebut menyediakan kepintaran yang membolehkan unit ingatan
mencapai data dengan lebih sistematik yang seterusnya mengurangkan kerja pemproses mikro. RDRAM
juga menawarkan kepantasan ingatan yang jauh lebih tinggi. SDRAM konvensional secara dasarnya
mampu mencapai kepantasan pemindahan data sehingga 133 MHz namun teknologi RDRAM mampu
mencapai kepantasan sehingga lebih dari 600 MHz.

iv. DDR RAM (Double Data Rate RAM)
DDR merujuk kepada Double Data Rate merupakan teknologi yang mampu melakukan proses
penghantaran data pada kedua-dua belah bahagian isyaratnya (signal). Ini seterusnya akan
menggandakan unit ingatan misalnya cip 133 MHz SDRAM dengan mudahnya akan dipinda agar berkeupayaan seperti cip 266 MHz DDR.

v. SLD RAM (SyncLink DRAM)
SLD RAM yang merujuk kepada SyncLink DRAM diperkenalkan serta diperjuangkan oleh SyncLink
Consortium yang mencuba untuk menyaingi teknologi RDRAM dari Rambus Inc. Yang disokong
sepenuhnya oleh Intel Corporation. Ini bermakna, teknologi SLD RAM agak sukar untuk diketengahkan
memandangkan ia terpaksa bersaing dengan teknologi ingatan utama dari syarikat-syarikat gergasi
dalam bidang berkenaan.

vi. RIMM (Rambus Inline Memory Modules)
Rambus Inline Memory Module atau RIMM pula merupakan modul ingatan utama yang beroperasi
dengan lebar 16 bit sahaja berbanding 64 bit modul ingatan DIMM SDRAM sebelumnya. Ianya mampu
beroperasi dengan frekuensi atau kepantasan jam sistem yang lebih tinggi iaitu 600MHz, 700MHz, 800
MHz dan sebagainya. Teknologi ini juga beroperasi dengan kuasa setinggi 2.5 volt sahaja. RIMM
mempunyai cip pengawal yang mampu memutuskan bekalan kuasa kepada seksyen-seksyen yang tidak
digunakan. Selain dari itu, ianya juga berkeupayaan untuk mengurangkan kepantasan ingatan sekiranya
sensor haba yang ada padanya mengesan lebihan haba berlaku.

MODUL INGATAN UTAMA

Seseorang pengguna tidak boleh dengan sesuka hati menggunakan jenis ingatan utama (RAM) yang
dikehendaki pada sistem komputer. RAM biasanya dikawal oleh set cip pada papan induk dan seseorang itu
boleh menambahkan RAM mengikut jenis yang menepati keperluan papan induk yang digunakan.
Secara amnya, terdapat dua jenis modul ingatan utama yang sering digunakan iaitu:
• Modul SIMM (Single In-line Memory Module)
• Modul DIMM (Dual In-line memory Module)

2. INGATAN BACA SAHAJA (ROM)

ROM merupakan ingatan kekal yang sedia ada di dalam setiap komputer walaupun sistem komputer telah
ditutupkan (off). Ia biasanya telah diprogramkan oleh pengeluar komputer semasa di kilang lagi dan tidak boleh
diubah sama sekali.
ROM yang merujuk kepada ingatan baca sahaja yang hanya boleh di baca dan tidak boleh ditulis (read only). Ini
bermakna ia tidak berkeupayaan untuk menyimpan data atau arahan walaupun buat sementara waktu.
ROM amat penting bagi setiap komputer kerana di dalamnya terkandung banyak arahan dasar yang diperlukan
untuk komputer beroperasi dengan lancar di dalam Basic Input / Output System (BIOS). ROM adalah non-volatile
bermakna ianya tidak akan kehilangan data atau arahan walaupun komputer ditutup (off).

Jenis-jenis ROM yang utama:
• PROM (Programmable Read Only Memory)
Dalam situasi yang tidak memerlukan pengeluar mengeluarkan ROM dalam kuantiti yang banyak,
teknologi baru membenarkan sejenis ROM yang dikenali sebagai Programmable Read Only Memory
(PROM) yang boleh diprogramkan mengikut kehendak pengeluar ataupun pengguna. Namun demikian
ianya hanya boleh diprogramkan sekali sahaja.
• EPROM (Erasable PROM)
Teknologi yang sama dengan PROM Cuma ia membenarkan ROM diprogramkan lebih dari sekali.
• EEPROM (Electrically Erasable PROM)
Boleh diprogramkan dengan menggunakan kuasa elektrik yang tinggi. Ianya boleh diprogramkan berkalikali
tanpa perlu ianya dikeluarkan dari sistem komputer. Namun demikian, ROM jenis ini kurang
mendapat sambutan memandangkan harganya yang agak mahal berbanding EPROM. Komputer jenis
terbaru menyimpan BIOS dengan menggunakan flash ROM yang juga menggunakan konsep yang
hampir sama dengan EEPROM, boleh ditulis atau diprogram berulangkali menggunakan kuasa elektrik.

3. INGATAN PARA (CACHE MEMORY)

Pada kebanyakan sistem komputer berkuasa tinggi, ingatan utamanya dibahagikan kepada dua bahagian. Satu
bahagian yang agak luas mengandungi beberapa barisan cip dan dikenali sebagai RAM utama (main RAM).
Satu bahagian lagi yang agak kecil dikenali sebagai ingatan para atau cache memory dan ianya merujuk kepada
ingatan yang lebih pantas berbanding dengan RAM biasa.
Ingatan para ini merupakan ingatan istimewa yang mampu dicapai dengan pantas oleh pemproses mikro. Dan
ianya juga berperanan sebagai penghubung atau jambatan di antara RAM dan pemproses mikro.
Satu arahan khas akan memindahkan data atau arahan yang dipindahkan daripada storan sekunder (seperti
cakera keras) ke RAM dan dari RAM ke pemproses mikro. Ini membolehklan pemproses mikro bekerja dengan
lebih pantas memandangkan ia tidak perlu berulang-alik atau bertukar-tukar (swap) arahan dari RAM. Program
yang besar dan komplek serta pemproses mikro berkuasa tinggi mendapat kelebihan dengan kehadiran ingatan
para ini.

No comments:

I Serve NuffNang Ads